fbpx
Khaled semasa berucap pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Dividen LTAT 5.35 peratus, tertinggi dalam lapan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus bagi tahun kewangan 2025 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM524.74 juta kepada pencarumnya.

Pengumuman tersebut merupakan kadar dividen tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak 2018, sekali gus memberi manfaat kepada anggota dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman dividen itu mencerminkan prestasi kewangan LTAT yang semakin kukuh hasil usaha transformasi yang dilaksanakan.

“Pengumuman ini pastinya membawa berita gembira kepada semua pencarum dan sekali gus memperkukuhkan keyakinan anggota ATM bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT di Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh sama, LTAT turut merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM749.5 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM541.5 juta merupakan pendapatan yang boleh diagihkan kepada pencarum.

Dalam pada itu, dana rizab LTAT turut meningkat kepada RM1.3 bilion berbanding kira-kira RM1 bilion sebelum ini.

Khaled berkata, pencapaian tersebut membolehkan LTAT mengekalkan kadar dividen yang mampan dan lebih kompetitif kepada pencarum.

“Ia bukan sahaja simbol kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju LTAT, tetapi juga bukti bahawa setiap usaha transformasi yang dijalankan memberikan impak langsung kepada pencarum,” ujarnya.

Katanya, kejayaan itu turut mencerminkan komitmen LTAT dalam mengurus simpanan anggota ATM secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI