fbpx
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang, semalam.

Tiga ‘runner’ dadah dicekup, rampasan cecah RM1.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi tiga serbuan berasingan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara di sini, antara Isnin hingga semalam.

Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Timur Laut itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, ketamin dan pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 28 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin hingga pukul 2 pagi semalam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan di daerah berkenaan, polis menahan seorang lelaki tempatan sebelum menemui 120 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA seberat kira-kira 3,024 gram di dalam sebuah kenderaan.

“Hasil soal siasat, polis kemudian dipandu arah ke lokasi parkir yang sama sebelum menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta merampas 119 paket plastik disyaki MDMA dengan anggaran berat 2,213 gram selepas memeriksa sebuah motosikal.

“Serbuan ketiga kemudiannya dilakukan di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara yang membawa kepada penemuan 252 paket plastik disyaki serbuk MDMA seberat 5,220 gram, selain 18 paket ketamin seberat 515 gram dan pil Erimin 5 dengan anggaran berat 19 gram,” katanya.

Azizee berkata, polis turut menyita pelbagai aset termasuk tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai RM224,544 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Rampasan tersebut melibatkan sebuah Honda Civic, Perodua Myvi, Toyota Vios, seutas rantai leher bersama loket serta wang tunai.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI