MELAKA – Premis yang disangka menjalankan operasi calling centre rupa-rupanya dijadikan makmal dan stor penyimpanan dadah bernilai RM86.78 juta terbongkar dalam serbuan di sekitar Melaka Tengah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dibuat selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman menerima maklumat mengenai sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti pusat panggilan.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi bagaimanapun mendapati ia sebenarnya merupakan stor penyimpanan dadah oleh satu sindiket pengedaran.
“Susulan penemuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka melancarkan operasi susulan dan menyerbu dua lagi premis yang dipercayai dijadikan stor serta lokasi memproses dan membungkus dadah bagi pasaran tempatan.
“Tiga siri serbuan yang dijalankan antara 6 hingga 8 Mac lalu berjaya menahan lima individu tempatan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Ujarnya, serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan 12 bungkusan dadah disyaki Erimin 5 seberat 1.73 kilogram (kg.).
“Serbuan kedua pada 8 Mac di Taman Kenanga pula berjaya menahan dua lagi suspek serta merampas cecair dan serbuk disyaki Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), selain pil Erimin 5, pil ekstasi dan ketamin,” katanya.
Tambahnya, serbuan ketiga di sebuah rumah teres dua tingkat di Krubong menemukan jumlah dadah lebih besar termasuk ratusan kilogram cecair dan serbuk MDMA serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 284.96 kg. cecair MDMA dan 306.60 kg. serbuk MDMA, selain pil ekstasi, Erimin 5 serta ketamin dan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM86.78 juta dan boleh digunakan oleh kira-kira 1.1 juta penagih.-KOSMO! ONLINE














