LONDON – Pengurus Chelsea. Liam Rosenior mengakui motivasi anak-anak buahnya berada dalam keadaan baik menjelang perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi esok.
Meskipun akan turun sebagai pasukan pelawat pada perlawanan di Parc des Princes itu, namun beliau menyuarakan keyakinan para pemainnya sedia untuk membawa pulang bekalan selesa ke Stamford Bridge.
Rosenior langsung tidak meragui kemampuan pemain-pemain Chelsea untuk menewaskan PSG selepas mendapati mereka berada dalam keadaan tersenyum sebaik sahaja mendapat tahu undian bertemu juara bertahan itu.
“Bagi saya, undian UCL menentang PSG adalah sesuatu yang sangat adil untuk kedua-dua pasukan. Saya gembira kerana bakal membuat perhitungan menentang salah sebuah pasukan terkuat di Eropah.
“Secara jujur, aksi menentang PSG bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau menakutkan. Semua pemain tersenyum Ketika mereka mendapat tahu kami diundi bertemu PSG dalam pusingan 16 terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya anak-anak buahnya berada dalam kondisi terbaik meskipun terpaksa bermain sehingga ke masa tambahan Ketika menewaskan Wrexham 4-2 pada pusingan kelima Piala FA, Ahad lalu.
“Saya mengambil risiko untuk menyimpan pemain-pemain utama ketika bertemu Wrexham. Saya perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada semua pemain kerana mereka yang akan membantu pasukan sehingga ke hujung musim,” ujar Rosenior. – AGENSI














