LONDON – Pengurus England, Thomas Tuchel menyuarakan keyakinan pasukan itu mampu melangkah jauh pada saingan Piala Dunia 2026 di kala skuad The Three Lions sedang melakukan persiapan terakhir.
England dilaporkan sudah berlepas ke Amerika Syarikat dan dijadualkan mengharungi dua aksi persahabatan menentang New Zealand dan Costa Rica di Florida sebelum berangkat ke Kansas City 13 Jun nanti.
Tuchel berkata, beliau yakin dan percaya England mampu melangkah jauh selepas mengadakan beberapa perbincangan berhubung strategi serta taktikal pasukan berdasarkan senarai pemain yang dibawa.
“Ketika saya cuba merangka dan menyusun program latihan dengan merujuk kepada perlawanan, saya sudah dapat melihat kualiti yang ada dalam pasukan. Inilah yang membuatkan saya yakin dan percaya kami akan melangkah jauh.
“Kami berdepan pelbagai situasi dalam tempoh beberapa hari ini tetapi saya sudah dapat rasa ada hubung dengan pemain. Mereka menunjukkan reaksi cukup positif, jadi saya sangat teruja untuk cabaran ini,” katanya.
Bekas pengendali Chelsea itu juga menggesa para pemain dan staf pasukan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Amerika Syarikat kerana beliau enggan mendengar sebarang alasan seandainya gagal menampilkan aksi terbaik.
“Ia (cuaca) bukan musuh terbesar dan bukan juga kelebihan kami. Kami sebenarnya tidak biasa dengan cuaca panas yang lembap seperti itu jadi semua pemain perlu bersedia sepenuhnya,” ujar Tuchel. – AGENSI














