SABAK BERNAM – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke surau di Jalan Kampung Dato Hormat, Sungai Air Tawar, malam tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu mengakibatkan mangsa berusia 14 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan ke surau sebelum dilanggar motosikal jenis Y16Z dari belakang ketika keluar membelok ke kanan.
“Perlanggaran itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak dan mengalami kecederaan di kepala serta dalaman perut.
“Mangsa yang menerima rawatan di wad kecemasan HTAJ Sabak Bernam disahkan meninggal dunia pukul 9.14 malam,” katanya hari ini.
Tambah Md. Yusof, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md. Ali di talian 013-3328212 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














