fbpx
Gambar hiasan

Mesin peniup daun boleh tingkatkan zarah halus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam berpotensi meningkatkan kepekatan zarah terampai seperti Particulate Matter (PM2.5) dan PM10 dalam udara sekitar.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, peningkatan itu berlaku apabila tiupan udara berkelajuan tinggi mengangkat habuk, tanah kering serta partikel halus lain yang berada di permukaan tanah ke udara.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan tersebut lazimnya bersifat setempat dan sementara serta tidak semestinya mencerminkan bacaan purata 24 jam yang direkodkan di stesen pemantauan kualiti udara.
Jelas beliau, beberapa faktor perlu diambil kira bagi menentukan sama ada paras tersebut melepasi had selamat yang ditetapkan oleh garis panduan kualiti udara kebangsaan atau saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Antara faktor yang mempengaruhi adalah keadaan persekitaran, jumlah habuk di permukaan, tempoh penggunaan serta pergerakan angin.

“Dalam keadaan tertentu khususnya ketika cuaca kering dan angin perlahan, bacaan zarah terampai di kawasan berhampiran boleh meningkat buat sementara waktu dan berpotensi melebihi garis panduan yang disarankan oleh WHO,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj berkenaan penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam menghasilkan tahap zarah terampai yang melepasi had selamat.

Syed Ibrahim berkata, terdapat perbezaan antara Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia (MAAQS) dan garis panduan WHO kerana pendekatan yang digunakan dalam menetapkan standard tersebut berbeza dari segi tujuan dan pertimbangan dasar.

Menurutnya, ia melibatkan faktor seperti tahap pembangunan ekonomi negara, keupayaan teknologi untuk pemantauan dan penguatkuasaan serta kesannya kepada sektor industri dan mobiliti masyarakat.

Sebaliknya, kata beliau, garis panduan dalam WHO Global Air Quality Guidelines 2021 adalah berasaskan bukti saintifik terkini mengenai kesan pencemaran udara terhadap kesihatan manusia dan bertujuan menetapkan tahap perlindungan kesihatan yang paling optimum.

Sehubungan itu, beliau berkata, penggunaan mesin peniup daun di kawasan awam wajar dilaksanakan secara berhemah bagi meminimumkan pendedahan kepada orang awam serta mengurangkan kesan terhadap kualiti udara persekitaran.

Katanya, kementerian namun menggalakkan pihak berkuasa tempatan serta pengendali perkhidmatan pembersihan mengamalkan amalan terbaik termasuk menetapkan masa operasi sesuai di luar waktu puncak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN