PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan Pelan Induk Pasaran Modal (Capital Market Masterplan; CMP) 2026–2030 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai usaha memperkukuh ekosistem pasaran modal negara.
Menurut beliau, pelan induk tersebut memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama iaitu memperkukuh akses pembiayaan, menyokong pertumbuhan perniagaan, menjadikan kelestarian sebagai pemacu nilai serta memperluas penyertaan ekonomi agar manfaat kemakmuran dapat dinikmati lebih ramai rakyat.
“CMP 2026–2030 juga selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan aspek kesaksamaan, kelestarian dan kemajuan negara.
“Hampir tiga tahun lalu, di dewan yang sama kita meluncurkan kerangka Ekonomi MADANI. Pelan ini menjadi langkah penting memastikan sektor swasta dan pasaran modal bergerak seiring dengan wawasan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ketika ini, Malaysia perlu terus memperkukuh tadbir urus serta membina persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing.
“Usaha ini penting bagi memastikan negara kekal mesra pelabur dan mampu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti pada masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














