LONDON – Simpanan gas asli Britain jatuh ke tahap kritikal dengan kemudahan penyimpanan hanya menampung 6,700 GWh, cukup untuk menampung keperluan negara selama hanya satu setengah hari, lapor saluran berita GB semalam.
Angka daripada syarikat gas negara, National Gas menunjukkan penurunan simpanan daripada 9,000 GWh yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Meskipun terdapat kebimbangan, National Gas menyatakan, angka tersebut secara umumnya selaras dengan apa yang dijangka sekitar masa ini pada setiap tahun.
Jumlah gas serupa kekal disimpan di kemudahan gas asli cecair.
Negara-negara Eropah mengekalkan simpanan gas yang jauh lebih besar, dengan banyak negara menyimpan bekalan untuk tempoh beberapa minggu.
Ini meletakkan negara-negara berkenaan dalam kedudukan lebih kukuh untuk menahan ketidaktentuan bekalan dalam pasaran gas global berbanding Britain.
Britain kini membayar harga borong tertinggi untuk bekalan gas di di Eropah.
Penganalisis-penganalisis pasaran berkata, situasi itu didorong oleh gangguan kepada laluan perkapalan di Selat Hormuz dan infrastruktur bekalan yang dikaitkan dengan perang di Asia Barat. – AGENSI














