JOHOR BAHRU – Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB) menasihati para peniaga restoran atau premis perniagaan makanan agar tidak mengambil jalan pintas dengan bersubahat menerima tawaran daripada tauke-tauke judi online.
Setiausaha PPPPIKMJB, Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, jika peniaga menerima tawaran tersebut, ia dikhuatiri akan memberi kesan buruk selain bakal meruntuhkan perniagaan yang dijalankan selama ini.
“Persatuan menerima laporan beberapa peniaga yang mendakwa wujudnya kegiatan perjudian dalam talian melibatkan premis perniagaan khususnya restoran di sekitar bandar raya ini.
“Pihak kami memandang serius isu berkenaan dan berharap polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan perjudian dalam talian sekiranya ia benar-benar berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut Mohammad Salezan, terdapat kira-kira 6,000 ahli persatuan yang berdaftar di bawah PPPPIKMJB.
Katanya, persatuan menerima aduan dan percaya 20 hingga 30 peratus ahli telah ditemui oleh tauke judi bagi menawarkan ‘bisnes’ berkenaan.
Tegasnya, persatuan bimbang sekiranya aktiviti terbabit dibiarkan berleluasa, ia akan menyebabkan pelbagai masalah sosial termasuklah keruntuhan rumah tangga selain merosakkan bangsa dan negara.
“Berpegang teguhlah kepada prinsip agama dan berusahalah untuk mendapatkan pendapatan yang lebih berkat serta jauhilah perniagaan yang mempunyai unsur perjudian
“Persatuan tidak bertanggungjawab jika ada ahli yang bersekongkol dengan sindiket perjudian dalam talian ini, jika ada masalah rujuklah kami ahli jawatankuasa persatuan, Insya-Allah kami cuba cari jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.
Beliau turut percaya, aktiviti ini bukan sahaja berlaku di sekitar bandar raya Johor Bahru, malah mungkin di setiap daerah mahupun seluruh negara.














