fbpx
Antara penunggang motosikal yang gagal melarikan diri selepas dikepung pihak berkuasa di Jalan Semarak, awal pagi tadi.

[VIDEO] Kami hanya keluar sahur….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Kami hanya keluar untuk bersahur”.

Itu antara alasan diberikan segelintir penunggang motosikal ketika ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Jalan Semarak, awal pagi ini.

Menurut seorang remaja dikenali Ain, 18, dia memberikan alasan kepada ibu bapanya untuk keluar bersahur, meskipun mengakui sempat ‘melepak’ bagi melihat aksi penunggang motosikal.

“Saya datang sini sebab nak tengok kenapa orang ramai berkumpul. Ibu tahu saya keluar untuk sahur,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun berkata, dia hanya mengikut rakan ke kawasan berkenaan walaupun sebelum ini tidak pernah ditahan pihak berkuasa.

Ketika pemeriksaan, motosikalnya didapati menggunakan tayar ‘sotong’ selain nombor pendaftaran diubah suai menggunakan tulisan Thailand.

“Saya habis kira-kira RM3,000 guna gaji kerja sambilan untuk ubah suai motosikal,” ujarnya.

Timbalan Ketua JSPTKL, Superintendan Suffian Abdullah berkata, sebanyak 2,000 kenderaan termasuk motosikal diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Menurutnya, rata-rata penunggang motosikal yang diperiksa berusia dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun.

Justeru, Suffian menyeru supaya ibu bapa atau penjaga memberi perhatian kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat.

“Ibu bapa perlu mengambil berat dan beri perhatian. Jangan termakan pujuk rayu anak-anak dengan cuba memberi alasan yang kurang wajar sehingga mereka bebas.

“Contohnya kita kenal pasti mereka mengambil peluang ini untuk bersahur. Saya percaya isu ini boleh dibendung, namun peranan ibu bapa adalah yang paling utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN