LONDON – Misi Arsenal untuk meraih gelaran ‘quadruple’ musim ini masih bernyawa selepas menewskan kelab divisyen ketiga, Mansfield Town 2-1 untuk mara ke suku akhir Piala FA, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, The Gunners yang dikendalikan oleh Mikel Arteta membuat rombakan dengan memberi peluang buat dua pemain bawah 17 tahun, Max Dowman dan Marli Salmon berada dalam kesebelasan utama.
Pemain sayap, Noni Madueke menjaringkan gol pembukaan pada minit-41 sekali gus melegakan pasukan pelawat yang dilihat agak bergelut apabila bermain di gelanggang keramat Mansfield Town.
Bersambung pada babak kedua, kelab EFL itu mencipta kejutan selepas pemain gantian, Will Evans menyamakan kedudukan pada minit ke-51 untuk memanfaatkan kelekaan benteng The Gunners.
Selepas kedudukan terikat 1-1, permainan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum Eberechi Eze meledak gol kemenangan pada minit ke-66.
Arsenal yang memburu trofi Piala FA pertama sejak edisi 2020 berusaha untuk menambah jaringan tetapi keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Selain Piala FA, The Gunners kini turut berada di landasan terbaik untuk menjurai Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala EFL dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL). – AGENSI














