SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya berbelanja secara berhemah berikutan ketidaktentuan ekonomi global termasuk peperangan antara Israel dan Iran yang berpotensi memberi kesan kepada harga barangan serta kestabilan ekonomi dunia.
Katanya, rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan dan meningkatkan tabungan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan ekonomi global terus tidak menentu.
“Jadi sementara keadaan sekarang terkawal, saya bertanggungjawab mengingatkan rakan-rakan supaya cermat, boleh simpan-simpan. Dalam bulan puasa…nanti raya, jangan boros berbelanja kerana kita belum dapat jangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan.
“Pandai-pandai urus ekonomi, kalau datang kegawatan yang begitu rupa…tidak mudah kita selesaikan. Rakyat kena sama-sama sedar dan bantu-membantu,” katanya ketika berucap sempena perasmian Masjid Mengkuang Titi di Permatang Pauh, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengakui negara ketika ini berada dalam keadaan stabil, namun ekonomi dunia berdepan tekanan akibat peperangan yang sedang berlaku.
Katanya, harga minyak kini melonjak hampir dua kali ganda dan kerajaan sedang berusaha mempertahankan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter.
“Doa, mudah-mudahan boleh kita pertahan (harga minyak)…tak tahu berapa lama. Kapal-kapal besar yang mengangkut minyak dan gas dari Teluk Hormuz disekat ekoran kezaliman yang berpunca dari Israel dengan sokongan Amerika.
“Lebih 200 tanker besar yang mengangkut gas, minyak dan peralatan kejuruteraan lain disekat…terbantut di situ. Makanan, baja yang dibawa sepatutnya daripada Ukraine, Rusia, Eropah, semuanya sekarang ini melambung tinggi kosnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE














