PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi bagi menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran susulan perkembangan terkini yang melanda negara itu.
Menurut Anwar, perbualan telefon tersebut memberi ruang kepada Malaysia menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa rakyat Iran, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 165 pelajar sekolah yang dilaporkan terkorban dalam serangan di Tehran baru-baru ini.
Beliau menegaskan Malaysia memandang serius insiden berkenaan yang didakwa melibatkan serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat, dan menyifatkan situasi itu sebagai amat membimbangkan.
“Malaysia menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.
Tambah beliau, konflik berpanjangan di rantau Asia Barat berpotensi memberi implikasi besar terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global, termasuk kesan kepada ekonomi serta keselamatan serantau.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua pihak agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan dan mencetuskan ketegangan lebih luas.
Dalam perbincangan sama, kedua-dua pihak turut menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan serta memperkukuh usaha diplomasi sebagai jalan terbaik menyelesaikan konflik.
Anwar turut menekankan kepentingan mencari penyelesaian damai yang menyeluruh, termasuk berkaitan isu Palestin yang terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Malaysia, katanya, akan terus memainkan peranan konstruktif di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan keamanan sejagat serta mempertahankan prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.-KOSMO! ONLINE














