BINTANG filem Telugu, Vijay Deverakonda kini rasmi bergelar pasangan suami kepada Rashmika Mandanna. Pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 26 Februari lalu mengikut adat tradisional Telugu.
“Saya jadikan kawan baik sebagai isteri,” tulis Vijay sewaktu mengumumkan perkahwinannya dalam Instagram.
Majlis resepsi perkahwinan mereka diadakan secara gilang-gemilang pada 4 Mac lalu di hotel Taj Krishna, Banjara Hills, Hyderabad. Majlis ini menyusul selepas perkahwinan secara tertutup mereka di Udaipur pada 26 Februari lalu.
Sebelum itu khabar angin bertiup kencang tentang majlis perkahwinan mereka yang dikatakan bakal berlangsung tahun ini. Namun tiada siapa yang tahu tarikh sebenar.
Majlis perkahwinan mereka hanya dihadiri saudara terdekat dan sahabat handai. Malah tiada rakan selebriti dilihat hadir ke majlis tersebut. Sempena meraikan perkahwinan mereka, pasangan ini turut mengedarkan makanan buat fakir miskin di India.
Sewaktu diraikan, Vijay sempat berseloroh dan meminra semua peminat menganggap Rashmika kini sebahagian daripada keluarga besar mereka. Dia juga membuat permintaan tulus agar orang ramai dan media menerima serta melindungi Rashmika dengan penuh kasih sayang.














