ALOR SETAR – Seorang doktor swasta kerugian RM3.8 juta setelah diperdaya sindiket penipuan pelaburan syer tawaran awam permulaan (IPO) mata wang China dan Hong Kong yang tidak wujud sejak tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Syamsyul Anuar Saad berkata, mangsa berusia 60 tahun melihat iklan pelaburan sebuah syarikat di Facebook yang menjanjikan keuntungan 50 peratus dalam tempoh dua minggu selepas modal dilaburkan pada 26 Ogos tahun lalu.
“Pengadu kemudian berurusan dengan seorang wanita dan telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp syarikat tersebut.
“Ahli dalam kumpulan itu telah meyakinkan pengadu mengenai pelaburan berkenaan yang kononnya boleh mendapat keuntungan tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa seterusnya membuat pindahan wang sebanyak RM3,805,010 melalui 49 kali transaksi ke sembilan akaun bank berbeza antara 4 November tahun lalu hingga 4 Februari lepas.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak pernah menerima apa-apa pulangan sebelum membuat laporan polis pada pukul 9.30 malam kelmarin,” ujarnya.
Justeru, Syamsyul Anuar menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian dan memastikan pelaburan yang ingin disertai mempunyai kelulusan Bank Negara Malaysia. – KOSMO! ONLINE














