fbpx
Ramanan (dua, kiri) menyampaikan faedah dan sumbangan kepada penerima pada Majlis Iftar Kesuma Perkeso Lindung 2026, di Petaling Jaya hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Skim Pengembara lindung 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kajian kebolehlaksanaan bagi pelaksanaan Skim Pengembara telah selesai sepenuhnya dan dijangka memberi perlindungan keselamatan sosial kepada kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri R. Ramanan berkata, kajian tersebut dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) termasuk penilaian aktuari dan kajian risiko bagi memastikan skim berkenaan dapat dilaksanakan secara mampan.

Menurut beliau, kajian itu penting bagi menentukan kadar caruman serta jumlah manfaat yang perlu dibayar kepada pencarum yang layak di bawah skim berkenaan.

“Kita perlu menjalankan kajian aktuari dan penilaian risiko untuk melihat berapa kadar caruman yang perlu dibayar serta manfaat yang boleh diberikan semula kepada pencarum,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kesuma Perkeso Lindung 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, Skim Pengembara bertujuan menutup jurang perlindungan sosial bagi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, khususnya golongan yang berulang-alik antara Malaysia dan Singapura setiap hari.

Menurutnya, inisiatif tersebut akan memastikan pekerja Malaysia di luar negara dapat menikmati perlindungan keselamatan sosial serta berasa lebih yakin terhadap masa depan mereka.

Tambah beliau, berdasarkan perkembangan semasa dan komitmen kepimpinan Perkeso, kerajaan optimis proses berkaitan skim tersebut dapat diselesaikan lebih awal daripada sasaran asal.

“Kita sasarkan hujung tahun, tetapi melihat kepada pergerakan dan kepimpinan Perkeso, kemungkinan kita boleh menyelesaikannya lebih awal.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu melalui proses yang betul termasuk pembentangan rang undang-undang serta bacaan di Parlimen sebelum ia boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Terdahulu, pada majlis sama, lebih RM500,000 faedah dan sumbangan disalurkan kepada anak-anak yatim, balu, duda, pencarum yang kehilangan upaya dan pekerjaan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Kesuma, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Azman Mohd Yusof serta barisan pengurusan tertinggi kementerian dan Perkeso. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI