KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memberitahu bahawa wang pengenalan (introduction fees) RM2.8 juta yang diperoleh secara sukarela dan bukan wang suapan.
Zizie Izette, 48, memaklumkan demikian pada pemeriksaan balas pihak pendakwaan pada perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad hari ini.
Pendakwaan: Setuju saya katakan, bahawa semasa kamu terima panggilan telefon untuk menerima wang RM2.8 juta tiada sikit pun kamu menolak pemberian wang itu.
Zizie Izette: Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali kali, dari mana, macam mana, duit dari mana, setelah saya fikir semua, saya tidak menolak.
Pendakwaan: Ini kali pertama di mahkamah kamu katakan kamu tidak menolak pemberian wang dari Norhaili? (Ejen pelaburan Norhaili Ahmad Moktar)
Zizie Izette: Setelah saya diyakinkan Norhaili, ya, saya tidak menolak wang itu.
Pendakwaan: Jadi kamu tahu itu wang suapan dan bukan ‘introductory fees’.
Zizie Izette: Saya tidak setuju.
Pendakwaan: Jadi setuju saya katakan Norhaili dikira kawan?
Zizie Izette: Kawan dan penasihat kewangan
Pendakwaan: Kenapa perlu ‘introduction fees’ kalau kita hendak perkenalkan kawan kepada suami?
Zizie Izette: Saya minta maaf…Itu kena tanya Elly, dia yang bagi pada saya, saya tidak pernah minta.
Terdahulu menerusi pernyataan saksinya Zizie Izzette memberitahu Norhaili ada memaklumkan kepadanya bahawa Felcra Bhd telah melabur dalam produk unit amanah Public Mutual.
Lantaran itu, Norhaili dan seorang lagi ejen pelaburan Mahdi Abdul Hamid ingin memberi satu wang pengenalan (Introductorer fees) jumlah lebih kurang RM 2 juta kepada kerana memperkenalkan Felcra Bhd.
“Saya terkejut. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak buat apa-apa pun. Namun begitu, Elly (panggilan Norhaili) menyatakan bahawa ia merupakan amalan biasa agensinya dan strategi pemasaran beliau untuk memberikan wang pengenalan sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka dalam jaringan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Zizie Izette turut menegaskan beliau tidak pernah terbabit dalam persubahatan menerima wang sebanyak RM2.8 juta berhubung pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Menerusi penyataan saksinya, beliau turut mengakui tidak pernah membantu arwah suaminya untuk menerima wang daripada Norhaili dan Madhi.
“Saya tidak pernah membantu suami saya menerima sebarang wang daripada Madhi atau Elly, termasuklah RM2.2 juta dalam bentuk tunai dan jumlah RM262,500 dalam Akaun Public Islamic Treasures Growth Fund dan RM337,500 dalam Akaun Public Ittikal Sequel Fund saya.
“Saya juga tidak pernah dengan sebarang cara, secara langsung atau tidak langsung, bersubahat, mendorong atau menggalakkan suami saya untuk mendapatkan kelulusan daripada Felcra Bhd atau daripada Kementerian Kewangan II supaya Felcra Bhd membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual,” kata Zizie Izette dalam pernyataan saksinya.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakili K.Kumaraendran
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding selepas bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. – KOSMO! ONLINE














