PUTRAJAYA- Kira-kira 12.5 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan lebih RM1 bilion untuk membeli barangan keperluan asas dalam tempoh tiga minggu sejak program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dikreditkan pada 9 Februari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan telah dipulangkan kepada rakyat.
“Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan pada hari pertama pelaksanaan Sara untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.
Katanya, Kementerian Kewangan telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.
“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan.
“Penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program tersebut memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.
“Ini jelas terbukti dengan penggunaan kredit RM100 di bawah Sara Untuk Semua yang telah mencecah 56 peratus pengguna. Baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember depan,” katanya.
Daripada segi taburan geografi, katanya, kadar penggunaan Sara Untuk Semua menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.
Katanya, negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70 peratus), Perlis (65 peratus), Kelantan (64 peratus), Labuan (64 peratus), Terengganu (63 peratus), Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) dan Pahang (60 peratus).
Selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, katanya, program Sara turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti.
Jelasnya, bilangan Rakan Niaga Sara kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi melebihi 11,300.
“Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga Sara kepada 20,000.
“Peningkatan ini dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan Sara kepada sekitar 7 kilometer berbanding 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














