fbpx
Irene Catalina memilih untuk ‘menenun’ memori Syawal tahun ini dengan bingkisan yang cukup bermakna berjudul Vibes Hari Raya bersama Nuim.

Irene Catalina teruja raya dengan ‘Bruno Mars’ Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS beberapa bulan melancarkan single, Irene Catalina memilih untuk ‘menenun’ memori Syawal tahun ini dengan bingkisan yang cukup bermakna. 

Mengangkat judul Vibes Hari Raya, naskhah sulung bersempena lebaran ini merupakan hasil nukilan kreatif daripada komposer Bendhitto atau Addiq Afdzal.

Menariknya, Irene, 48,  tidak tampil sendirian. Dia mempertaruhkan vokal bersama pempengaruh, Nuim, yang dipilih sendiri olehnya kerana tertarik dengan keunikan suara pemuda itu sehingga digelar sebagai ‘Bruno Mars Malaysia’.

Menceritakan mengenai proses rakaman, Irene mengakui segalanya dilakukan dalam keadaan yang agak tergesa-gesa.

Namun, faktor kekangan waktu bukanlah alasan untuknya mengabaikan kualiti, apatah lagi ini merupakan pengalaman pertamanya merakamkan lagu raya sendiri.

“Persiapan agak terburu-buru sebab dilakukan pada saat akhir. Lagu ini mengambil masa yang lama sedikit untuk saya rakamkan kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menyanyikan lagu raya sendiri. 

“Saya perlu mencari ‘mood’ ceria dan gembira supaya kena dengan semangat hari raya. 

“Dari segi genre, lagu ini berkonsepkan pop tetapi kami selitkan elemen instrumen tradisional supaya kedengaran lebih ‘catchy’ dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya kepada HibGlam

Menyentuh mengenai trend lambakan lagu raya pelbagai pihak termasuk golongan pempengaruh, bekas anggota kumpulan Angels itu melihat perkara tersebut dari sudut yang positif. 

Baginya, setiap karya mempunyai ruang tersendiri untuk memeriahkan suasana setahun sekali.

Bukan persaingan

“Saya tidak melihat ini sebagai satu persaingan dengan artis veteran atau penyanyi lain. Niat kami hanya ingin mencuba dan memeriahkan suasana yang hanya dirasai sebulan sahaja dalam setahun. 

“Mengenai influencer yang buat lagu raya pula, mungkin itu salah satu cara pemasaran mereka untuk kekal popular. 

“Nuim juga bersetuju bahawa lagu raya ini lebih mudah ‘hidup’ dan relevan kerana akan diputarkan setiap tahun berbanding lagu komersial biasa,” jelas Irene lagi.

Ditanya mengenai keberanian melancarkan lagu raya di saat ramai artis besar turut melakukan perkara sama, Irene kekal tenang dan menyifatkan tujuannya hanyalah untuk memiliki naskhah lebaran sendiri sebagai kenang-kenangan.

“Risau itu taklah sebab kita dah sedar benda itu memang mereka dah bersedia nak keluarkan lagu raya. 

“Jadi, saya rasa macam kenapa tidak kita pun cuba. Kita tak ada rasa macam kena juga keluarkan untuk bersaing,” ujarnya semasa majlis pelancaran dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah anak Yatim Al-Syaqiri, Ulu Klang. 

Majlis berbuka puasa tersebut didedikasikan khas buat arwah adik perempuan, arwah bapa dan neneknya yang telah tiada. 

“Majlis hari ini sebenarnya adalah untuk memperingati arwah adik, ayah, dan nenek saya. 

“Kenangan paling manis dengan arwah adik adalah setiap kali bulan puasa, kami tidak pernah terlepas untuk berbuka bersama. Arwah sangat gemar memasak dan dia sangat mahir membuat pelbagai kuih tradisional Melayu seperti karipap dan kuih talam. 

“Setiap kali raya menjelang, memang saya akan sangat rindukan air tangan dan kuih-muih yang dibuatnya sendiri,” ujarnya menutup bicara.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI