PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan, Sasha Abdul Aziz, membuat keputusan drastik dengan memilih untuk menghentikan terus penggunaan gajet di rumah dalam usaha mengawal perkembangan emosi anak-anaknya.
Menerusi satu hantaran di laman @Threads, keputusan tersebut dibuat selepas dia menyedari perubahan sikap anak-anaknya yang semakin membimbangkan akibat terlalu lama terdedah kepada peranti digital.
“Saya buat keputusan untuk membesarkan anak-anak saya tanpa gajet. Sejujurnya, ini adalah keputusan besar saya ambil pada tujuh hari lalu, kerana sebelum ini memang saya benarkan anak-anak menggunakan gajet.
“Tapi saya mula perasan mereka menjadi mudah marah dan kadang-kadang bercakap dengan nada yang kurang sopan,” ujarnya.
Tambahnya, keputusan berkenaan ternyata memberi perubahan positif apabila anak-anaknya kini menunjukkan perkembangan emosi yang lebih baik selain kembali aktif berinteraksi dengan orang sekeliling.
“Alhamdulillah, sekarang sudah masuk hari ketujuh mereka tanpa sebarang gajet. Kini, mereka jauh lebih ceria dan yang paling penting, mereka berdua dapat bergaul dengan orang sekeliling dengan baik,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, dia turut memberi bayangan bahawa penggunaan gajet hanya akan dibenarkan semula apabila anak-anaknya mencecah usia tertentu.
“Isabella tanya, sama ada dia boleh mendapatkan semula gajet bila dah dewasa. Saya jawab, ya boleh dapat tapi mungkin pada usia 15 tahun nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














