KUALA PILAH – Seorang pesara mendakwa kehilangan ayam belanda ternakannya Sabtu lalu dipercayai dibaham harimau kumbang ekoran penemuan tapak kaki dipercayai milik haiwan buas itu berhampiran sungai di rumahnya di Kampung Gamui, Charik, di sini.
Mohd. Azmi Hashim, 58, berkata, dalam kejadian itu, seekor daripada 14 ekor ayam belanda peliharaannya hilang dan telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.
Katanya, biarpun hanya seekor, tetapi dia bimbang harimau kumbang itu akan kembali kerana pada pertengahan tahun 2024, haiwan itu pernah menghampiri kediamannya.
Ujarnya, selepas dimaklumkan kepada dan mereka telah memasang perangkap untuk menangkapnya.
“Masa tu harimau kumbang seberat kira-kira 50 kilogram berjaya ditangkap. Kali ini, pihak Perhilitan anggarkan harimau kumbang berkenaan bersaiz lebih besar berdasarkan kesan tapak kaki berhampiran sungai tersebut.
“Saya tidak mahu peristiwa sebelum ini berulang, apa yang penting keselamatan keluarga saya termasuk cucu yang tinggal bersama saya perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gamui, Charik, di sini semalam.
Katanya, untuk mendapatkan kepastian tentang kehadiran harimau kumbang itu, ada seorang penoreh getah menyatakan ada terdengar binatang liar mengaum sekitar 10 pagi.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat aduan serta dakwaan penduduk serta mengambil langkah bersesuaian.














