PETALING JAYA – Seramai 37 warga asing ditahan manakala satu sindiket penyeludupan migran berjaya dilumpuhkan dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan di Subang Jaya, Sepang dan Klang, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama kira-kira pukul 11.06 pagi di sebuah gudang di Subang Jaya, lapan warga China terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan pusat pameran dan penjualan produk kesihatan secara tertutup dengan menyasarkan pelancong dari negara sama.
“Aktiviti dipercayai dijalankan secara tersusun dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi kedua pada pukul 11.25 pagi di Bandar Sunsuria, Sepang, pihaknya menahan lima lelaki dan seorang wanita warga China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan di sebuah restoran makanan China.
“Turut ditahan 16 warga Myanmar yang disyaki bekerja tanpa pas sah.
“Kesemua 30 individu berusia antara 21 hingga 62 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Sementara itu Zakaria berkata, dalam operasi khas pada hari sama, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA JIM menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket membawa masuk migran secara tidak sah sebelum dieksploitasi sebagai tenaga kerja.
Susulan itu, serbuan dilakukan di sebuah bengkel mengecat kenderaan yang dijadikan rumah penampungan sementara di Klang, membawa kepada penyelamatan tiga lelaki Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun yang tidak mempunyai rekod kemasukan sah ke negara ini.
“Migran berkenaan dipercayai diseludup masuk melalui laluan darat yang tidak diwartakan (jalan tikus) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.
“Turut ditahan tiga lagi lelaki Bangladesh berusia antara 34 hingga 38 tahun yang disyaki berperanan sebagai ejen pengatur, penghantar dan penjaga rumah penampungan. Sebuah kenderaan jenis Toyota Wish turut disita bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Jelasnya, kesemua tujuh individu ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














