fbpx
ADZLI (dua dari kanan) menunjukkan lokasi pelajar lelaki terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah menengah di Sungai Petani pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, hari ini.

Pelajar parah jatuh bangunan pernah ditegur bawa telefon ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Pelajar lelaki yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah menengah di sini semalam pernah ditegur guru kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, teguran terhadap pelajar tingkatan lima yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan menghidap autisme itu dikatakan berlaku pada Khamis lalu.

“Saya sendiri telah menemu bual guru yang menegur serta beberapa guru lain dan kita akan menyiasat lanjut berhubung insiden ini. Hanya teguran dilakukan dan tiada rampasan (telefon bimbit) dilakukan.

“Kita juga akan mengesan semua saksi termasuk murid-murid bagi memastikan siasatan telus dan mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pertemuan dengan ibu bapa pelajar terbabit mendapati tiada unsur buli terhadap mangsa di sekolah.

Menurutnya, pelajar itu yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini berada dalam keadaan sedarkan diri dan stabil.

“Kecederaan dialami mangsa termasuk patah tangan kiri, tulang selangka kiri, tulang punggung kiri serta kecederaan pada paru-paru kiri dan ia konsisten dengan insiden jatuh dari tempat tinggi,” jelasnya.

Adzli berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan bawah bangunan turut menunjukkan mangsa jatuh pada pukul 7.58 pagi sebelum ditemui pekerja pembersihan seminit kemudian.

Tambahnya, pelajar terbabit dikatakan mudah tantrum bila ditegur dan dia berada di kelas tingkatan lima peralihan dengan sekolah tersebut tidak mempunyai kelas khas untuk pelajar OKU. Kes disiasat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah menengah di sini pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN