PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sempat menyantuni seorang penunggang motosikal di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara baru-baru ini.
Menerusi video dimuat naik di Facebook, beliau yang dilihat turut menunggang motosikal seorang diri menyapa lelaki berkenaan yang sedang menunggu rakan untuk ke Genting Highlands.
Namun, lebih mencuri perhatian apabila individu berkenaan tidak mengenali Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.
“Abang dari mana dan nak pergi mana? soal pemuda tersebut kepada Dr. Muhammad Akmal.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal meneruskan perbualannya secara santai bersama lelaki terbabit selain menitipkan wang kepada mereka sebelum meneruskan perjalanan.
“Dah sampai dah kawan, hati-hati dik pergi Genting Highlands. Ingat dik, jangan rempit,” katanya.
Sementara itu, hantaran tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“YB paling santai dan mesra alam. Rezeki adik-adik dapat jumpa YB, siap dapat duit raya,” kata Juliana.
“Mesti dalam hati budak itu apa agaknya abang kerja dengan motosikal besar, bagi duit pula. Baik sungguh hati abang ini,” seloroh Asmah.
“Kau beruntung adik jumpa orang baik. Nanti dah tengok video ini, dah kenal siapa YB, jadikan sebagai inspirasi,” ujar Daus. – KOSMO! ONLINE














