KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak mudah membuat sangkaan buruk dalam isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memandangkan siasatan sedang berjalan.
Menurut beliau, pendiriannya terhadap isu tersebut masih sama berbanding sebelum menjadi Perdana Menteri, tetapi siasatan yang dilakukan tetap tertakluk kepada proses yang ada.
“Kita jangan buruk sangka, biar siasat dapat fakta. Sama ada Anwar dulu pernah mengemukakan, masih tertakluk kepada proses yang sama. Mesti ada proses siasatan yang telus termasuk pemilikan saham dan tuduhan tomahan tentang mafia korporat. Kedua-duanya tidak ditutup.
“Yang kedua dibangkitkan tentang jenis bentuk siasat siasatan. Saya telah jelaskan dia ikut prosesnya. Dulu mengapa diberikan satu pandangan yang sangat keras terhadap satu pihak padahal kita minta hanya ikut proses,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ((PN-Machang) berhubung pendirian Anwar terhadap Azam yang didakwa berbeza semasa beliau menjadi pembangkang.
Wan Ahmad Fayhsal dalam soalan tersebut mendakwa, Anwar sebelum ini mendesak Azam supaya bercuti untuk membolehkan siasatan dilakukan, tetapi kini seolah-olah melindungi Azam.
Perdana Menteri seterusnya menerangkan bahawa kebiasaannya dalam sebarang pertuduhan terhadap penjawat awam, proses siasatan akan bermula dengan laporan rasmi dan penelitian berdasarkan peraturan perkhidmatan awam.
“Namun dalam konteks ini, skopnya diperluaskan, bukan sahaja dari segi prosedur dan peraturan pentadbiran, tetapi melibatkan penelitian yang lebih menyeluruh. Sebab itu Peguam Negara mempengerusikan proses ini dan kita akan melihat laporan tersebut terlebih dahulu, termasuk isu pemilikan saham serta dakwaan yang dibangkitkan melalui laporan media antarabangsa.
“Saya tidak bersetuju dengan beberapa rujukan yang dibuat, namun oleh kerana terdapat tohmahan, maka wajar untuk kita teliti dan siasat secukupnya. Dari segi prinsip, tidak ada beza antara pandangan saya dahulu dan sekarang, siasat tetap siasat, tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, terdapat dua kaedah siasatan yang digariskan termasuk penelitian di peringkat Pejabat Peguam Negara dan ia boleh dilanjutkan sekiranya didapati siasatan sedia ada tidak memadai.
“Malah dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita telah putuskan bahawa siasatan boleh diperluaskan sekiranya laporan awal tidak meliputi keseluruhan skop bantahan dan dakwaan yang dikemukakan,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE














