KUALA LUMPUR – Pelancaran International Commercial and Admiralty Division (ICAD) hari ini dijangka akan menaikkan keyakinan pelabur di negara ini.
Menurut Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kewujudan jabatan itu akan memastikan mahkamah kekal selari dengan realiti perniagaan masa kini yang dinamik.
“Kuala Lumpur ialah sebuah kota perdagangan, pelaburan dan perusahaan (dan) kita hidup dalam era yang saling bergantung kepada ekonomi. Aliran perdagangan menjadi semakin kompleks, struktur pelaburan semakin canggih, dan hubungan komersial semakin merentasi sempadan berbanding mana-mana tempoh sebelumnya dalam sejarah.
“Syarikat multinasional yang beroperasi dalam persekitaran ini memerlukan bukan sahaja pasaran yang kukuh dan infrastruktur yang mantap, mereka (juga) memerlukan undang-undang yang kukuh. Mereka memerlukan mahkamah yang boleh dipercayai dan jaminan bahawa jika pertikaian timbul, ia akan diselesaikan dengan cekap, adil dan pantas.
“Masa itu adalah wang. Kepastian mempunyai nilai dan keadilan, apabila disampaikan dengan pantas dan integriti, (akan menjadi) antara perkara paling berkuasa yang boleh ditawarkan oleh sesebuah negara kepada mereka yang memilih untuk menjalankan perniagaan di pesisirnya,”kata Wan Ahmad Farid.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
ICAD akan mendengar pertikaian komersial antarabangsa yang melibatkan syarikat berdaftar di luar negara tetapi mempunyai operasi di Malaysia serta kes-kes admiralti.
Antara jenis pertikaian yang akan dikendalikan termasuk pelanggaran kontrak, tuntutan rentas sempadan dan perkara timbang tara yang perlu dikuatkuasakan di Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya, yang kini bertugas di Bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akan mengetuai ICAD di Kuala Lumpur.
Tanpa meremehkan sistem keadilan negara, Wan Ahmad Farid menyatakan ICAD merupakan `jawapan’ kepada kerisauan yang ada pada setiap pelabur atau bakal pelabur di negara ini.
“Apabila sebuah syarikat multinasional terlibat dalam pertikaian komersial, setiap bulan pertikaian itu tidak diselesaikan membawa kos. Ia mengikat modal, mengganggu rancangan perniagaan, menjejaskan hubungan komersial dan mewujudkan ketidakpastian dalam penyata kewangan.
“Bagi pelabur dan perniagaan yang beroperasi merentasi sempadan, litigasi yang berpanjangan bukan sekadar kesulitan, ia merupakan risiko material yang diambil kira dalam keputusan tentang di mana untuk melabur, di mana untuk diperbadankan, dan di mana untuk menyelesaikan pertikaian.
“Ini bukanlah kebimbangan abstrak. Ia menyentuh teras keyakinan pelabur dan keyakinan pelabur pula menyentuh teras pertumbuhan ekonomi. ICAD direka untuk memberikan jawapan yang jelas dan tegas terhadap persoalan-persoalan tersebut.
“ICAD merupakan respons institusi kehakiman terhadap realiti tersebut. Melalui bahagian ini, penekanan yang lebih besar diberikan terhadap pengurusan yang berkesan dan pelupusan segera kes-kes komersial yang melibatkan syarikat multinasional dan antarabangsa dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya.
Bagi 2024, terdapat 7,390 kes komersial yang didaftarkan di Mahkamah Dagang Kuala Lumpur dan jumlah tersebut telah meningkat kepada 9,671 pada tahun lalu. Untuk ICAD, sebanyak 116 kes telah didaftarkan yang mana 54 daripadanya membabitkan kes admiralti.
Menjawab pertanyaan sama ada penubuhan ICAD akan diperluaskan ke negeri-negeri lain, Wan Ahmad Farid menyatakan beliau sendiri akan memantau perkembangan dan keperluan jabatan itu dalam tempoh enam bulan.
“Sekiranya perlu, kita boleh mewujudkan ICAD 2,”katanya yang turut menyatakan kemungkinan kewujudan Mahkamah Khas Komersial yang akan beroperasi di bangunannya tersendiri.
Kenyataan sama mengenai pengoperasian Mahkamah Khas Komersial pernah dinyatakan oleh Wan Ahmad Farid kepada media sewaktu Majlis Perjumpaan sempena 100 hari Pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














