PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle meminta orang ramai berpada-pada dalam melemparkan sebarang pandangan dalam media sosial terutama berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu penuntut universiti memijak al-Quran baru-baru ini
Menurut Diana, 36, setiap komen yang ditinggalkan dalam media sosial tidak seharusnya berlandaskan emosi semata-mata tanpa memahami konteks yang sebenar.
“Individu yang hina al-Quran hari itu sebenarnya sudah ditangkap dan ditahan sejak 25 Februari lagi. Jadi dari sudut tindakan undang-undang, proses telah berjalan.
“Bila kita cakap tentang isu ini, walaupun penat dan emosi serta lebih sensitif pada bulan Ramadan, kita masih ada ruang untuk lebih berhati-hati sebelum buat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.
“Setakat ini, PM ada respons tentang isu ini tetapi bukanlah dia tuju pada semua. Teguran itu lebih kepada suara-suara yang terus mempersoalkan ‘mana tindakan?’ sedangkan sudah diambil,” katanya dalam platform Threads.
Tambah Diana, orang ramai seharusnya mentafsir setiap kandungan dengan teliti dahulu sebelum memberi respons terhadap mana-mana hantaran media sosial.
“Ada beza antara bertanya untuk dapat kepastian dan membentuk persepsi seolah-olah tiada tindakan langsung.
“Kadang-kadang kita terlalu cepat respons sedangkan fakta sudah ada, mungkin lebih baik kita pastikan maklumat sahih dulu sebelum kita bagi pandangan.
“Sekian daripada saya yang sentiasa mendoakan harmoni antara kita semua,” katanya lagi.
Terdahulu, kecoh apabila seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.
Penuntut lelaki berusia 21 tahun itu direman selama empat hari minggu lalu mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE














