PETALING JAYA – Tetap menggagahkan diri meski berdepan masalah kesihatan, pelakon Shaheizy Sam mengakui ‘berjuang’ menanggung kesakitan sepanjang menjalani penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abd. Samad, 43, mendedahkan hasil pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) menunjukkan kecederaan pada bahagian lutut melibatkan kedua-dua belah kaki.
“Berdasarkan keputusan MRI. Bahagian lutut saya, mungkin ACL atau meniskus, kedua-duanya koyak. Di antara sendi memang koyak. Kiri dan kanan mengalami kecederaan sama.
“Bila kaki sedikit tertekan, terus datang rasa sakit mencucuk. Itulah keadaan saya sekarang. Tetapi alhamdulillah, Allah permudahkan.
“Faktor umur juga, betul. Kadang-kadang rasa untuk buat aksi berat itu, saya lebih rela bawa watak santai, badan berisi, kurang dialog, itu lebih selesa,” selorohnya kepada Kosmo! Online.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 itu, kecederaan tersebut mula dirasai selepas beberapa hari penggambaran berlangsung.
“Selepas tiga hari penggambaran Cobra 7: Peluru Terakhir, sakit itu mula datang. Sepanjang penggambaran, saya memang dalam keadaan begitu.
“Ada masa saya ambil ubat tahan sakit. Bila tahu babak berat, saya akan bersedia lebih awal dengan ubat,” ujarnya pada penggambaran filem terbaharunya berjudul COBRA 7: Peluru Terakhir di sini, semalam.
Jelas suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu, berbeza dengan filem aksi lain, dia tidak sempat membuat persediaan fizikal rapi kali ini.
“Kebiasaannya untuk filem aksi, saya akan buat persiapan awal termasuk ke gim. Tetapi kali ini skrip tidak memerlukan fizikal begitu.
“Saya jadi terlalu selesa, tidak bersenam. Bila badan terkejut, kecederaan mula datang satu demi satu dan bagi saya, memang agak teruk.
“Bila sudah jadi tanggungjawab, sakit atau tidak, kita teruskan sahaja. Alhamdulillah, dalam keadaan cedera ini, penggambaran hampir selesai,” luahnya.
Dalam masa sama, dia memberi perhatian penuh terhadap penjagaan diri bagi memastikan kecederaan tidak bertambah buruk selain menjalani rawatan susulan selepas selesai penggambaran.
“Saya masih bertahan. Bila waktu rehat, saya memang jaga betul-betul keadaan kaki. Macam-macam saya buat termasuk guna pek panas.
“Saya jaga sebaik mungkin sebab tahu kaki ini masih perlu digunakan. Saya buat rawatan susulan seperti fisioterapi. Mungkin ambil cuti panjang sedikit.
“Kalau ada tawaran selepas ini, saya akan pilih watak lebih ringan, tidak terlalu fizikal,” tuturnya.
Sam sedang sibuk menjalani penggambaran filem COBRA 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak, dijangka menemui penonton hujung tahun ini.
Selain Sam, filem tersebut turut dibintangi Diana Danielle, Zahiril Adzim, Amar Baharin dan Ahirine Ahidrudin.
Dalam naskhah aksi neo-noir sarat intensiti itu, Sam membawakan watak Damian, bekas ketua pasukan khas lumpuh akibat operasi berdarah sebelum menjalani eksperimen berbahaya demi peluang kedua untuk berjalan semula. – KOSMO! ONLINE.














