PETALING JAYA – Seorang lelaki memberi alasan tidak mampu membayar nafkah bulanan RM800 untuk seorang anaknya semata-mata perlu menjelaskan komitmen lain termasuk dua rumah, dua kereta dan dua motosikalnya.
Alasan diberikan itu seolah-olah menunjukkan lelaki berkenaan didakwa lebih mengutamakan komitmen, berbanding nafkah bulanan sebanyak RM800 yang dimohon bekas isterinya.
Kisah itu dikongsikan seorang peguam syarie menerusi TikTok Lawyer Syrie Naim berhubung situasi dihadapi bekas isteri lelaki berkenaan apabila dia memohon bekas suaminya menjelaskan nafkah tersebut.
“Bekas isteri minta nafkah anak RM800 untuk seorang anak. Bapa jawab tak mampu sebab ada banyak komitmen. Peguam minta bentangkan apa komitmen sampai tak mampu bagi nafkah RM800 untuk seorang anak.
“Dua buah rumah RM2,500, Astro RM100, kereta Honda Civic RM900, kereta Honda Jazz RM600, motosikal NVX RM300, motosikal ADV RM350 dan wifi RM100. Peguam hampir tahan gelak dan ketika soal balas peguam tanya, adakah bil Astro lebih penting daripada lampin pakai buang anak?
“Keperluan sangat ke dua motosikal ni? Jaga dua buah kereta mampu pula berbanding bayar nafkah anak?,” menurut hantaran tersebut.
Beliau berkata, mahkamah kemudian meluluskan tuntutan si ibu sebanyak RM800 sebagai nafkah untuk seorang anak.
“Ramai suami atau bapa sebenarnya tersalah faham. Mereka ingat bila ada komitmen bulanan tertentu, hutang, bayaran bulanan dan tanggungan lain, jumlah nafkah anak boleh dikurangkan begitu sahaja.
“Hakikatnya, nafkah anak bukan bergantung kepada baki duit selepas komitmen peribadi diselesaikan. Nafkah anak adalah tanggungjawab utama dinilai berdasarkan kemampuan sebenar bapa, keperluan anak dan taraf kehidupan yang munasabah,” katanya.
Tegas beliau, komitmen dibuat atas pilihan sendiri tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hak anak.
“Fahami beza antara beban kewangan dan tanggungjawab nafkah. Anak tetap berhak, walau apa pun keadaan ibu bapanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














