PETALING JAYA – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) gembira apabila percubaan untuk mendaftar masuk ke i-Akaun kini lancar dan tidak perlu menunggu hampir sejam seperti yang berlaku pada Sabtu dan semalam.
Tinjauan mendapati, pengguna akan terus diminta login apabila ingin membuka aplikasi yang popular sejak kelmarin itu.
Ia menjadi peluang terbaik buat para pencarum menyemak dividen sebanyak 6.15 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Shariah dan Konvensional pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pengguna i-Akaun berdepan kesulitan apabila terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum dapat mengakses sistem tersebut susulan trafik capaian yang tinggi.
Menerusi notis yang dipaparkan, pengguna dimaklumkan mereka kini berada dalam giliran dengan jangkaan masa menunggu selama 34 minit dan hanya boleh log masuk sekitar pukul 11.48 tengah hari.
KWSP menjelaskan pengagihan dividen telah selesai dikreditkan sepenuhnya ke dalam akaun pencarum semalam. – KOSMO! ONLINE














