PETALING JAYA – Kertas siasatan berhubung kes tular pijak al-Quran membabitkan seorang seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), esok bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini, sebanyak 62 laporan diterima di seluruh negara berkaitan isu terbabit dan seramai 43 orang saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan dijangka akan dirujuk kepada AGC, esok bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan ketenteraman awam serta sensitiviti agama.
“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pelajar IPT ditahan pada 25 Februari lalu dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Tempoh reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya. – KOSMO! ONLINE














