fbpx
Romli menunjukkan bot dinaiki 37 PATI yang ditahan dalam satu operasi risikan bersepadu pada sidang akhbar di Kuala Kedah, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Syabas APMM Kuala Kedah, Polis Marin!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Cubaan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini menggunakan bot laju gagal apabila mereka ditahan di selatan Pulau Sayak, Kuala Muda, dekat sini pada pukul 5.30 pagi semalam.

Semua yang dicekup Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Pasukan Polis Marin itu terdiri daripada 32 warga Myanmar, tiga Bangladesh serta dua lelaki Thailand yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot ronda APMM dan PPM mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dari arah Yan menuju ke daratan berhampiran Pulau Sayak.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot itu cuba merapat ke persisiran pantai supaya semua individu dapat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan kesemua 37 individu termasuk 36 lelaki berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, PATI berkenaan dipercayai dihimpunkan di negara jiran sebelum dibawa ke Tanyong Po, Thailand dan seterusnya diseludup masuk ke pantai Perlis atau Kedah menggunakan bot laju bersaiz kecil bagi mengelak dikesan berbanding bot besar yang lebih perlahan.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menemukan dua kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna yang disyaki digunakan untuk membawa keluar PATI dari lokasi pendaratan.

Katanya, warga Myanmar terbabit dipercayai membayar sehingga RM15,000 seorang kepada sindiket yang dipercayai beroperasi di negara jiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI