fbpx
GRADUAN yang dipilih wajib mengikuti latihan perguruan di IPG dalam pelbagai bidang pengkhususan.

20,000 jawatan guru baharu dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pembukaan sebanyak 20,000 jawatan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara perkhidmatan kontrak (CoS) di sekolah rendah bermula pukul 2 petang ini.

Menurut hebahan di laman rasmi KPM, permohonan dibuka sehingga 20 Mac 2026 dan sebarang maklumat lanjut boleh layari https://mypdpp.moe.gov.my/pdpp26.

“Syarat permohonan ialah graduan bukan pendidikan, warganegara Malaysia dan memiliki kepujian Bahasa Melayu di pe­ringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

“Hanya calon yang layak akan dipanggil UKCG (ujian kelayakan calon guru) dan temu duga. Calon yang berjaya wajib mengikuti latihan perguruan di IPG (Institut Pendidikan Guru) dengan pem­biayaan sendiri dalam tempoh kontrak,” katanya.

Pada Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

GARIS masa pengambilan Pengawai Perkhidmatan Pendidik Gred DG9 yang dikongsi KPM.

Selain itu, ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.

“Proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Gerak kerja telah dijadualkan seperti hebahan pengambilan guru yang akan dilaksanakan pada 23 Februari, selain permohonan dibuka (2-20 Mac 2026) dan proses saringan temu duga (27 April-14 Mei),” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di IPG dalam pelbagai bidang pengkhususan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan murid akan memasuki alam persekolahan darjah 1 pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.

Untuk rekod, terdapat le­bih 416,000 guru berkhidmat dalam sektor pendidikan awam dan KPM juga telah menempatkan seramai 52,948 guru baharu sejak tahun 2023 bagi mengisi kekosongan jawatan di seluruh negara.

Selain itu, jumlah sekolah pula adalah sebanyak 10,233 buah dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,164 buah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN