LEEDS – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menganggap kemenangan tipis 1-0 ke atas Leeds United di Elland Road awal pagi semalam merupakan kejayaan besar buat pasukan itu dalam misi memburu takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bagaimanapun, Guardiola turut meluahkan rasa kecewa terhadap penyokong Leeds yang dianggap biadab apabila mencemuh tindakan pengadil menghentikan perlawanan buat seketika bagi memberi peluang kepada pemain-pemain muslim berbuka puasa.
Penyokong Leeds tidak gembira kerana pengadil memberikan kelonggaran itu supaya tiga pemain City, Rayan Cherki, Rayan Ait-Nouri dan Omar Marmoush berbuka puasa di tepi padang.
“Kita semua berada dalam dunia moden, jadi tolong hormat perbezaan agama masing-masing. EPL memberikan kebenaran untuk pemain berbuka puasa, jadi tidak ada sebarang masalah di situ,” ujarnya.
Turun sebagai pasukan pelawat, The Citizens tidak berdepan laluan mudah apabila diberikan tentangan sengit Leeds yang melakukan 14 percubaan ke arah pintu gol yang dikawal Gianluigi Donnarumma.
Bagaimanapun, City yang turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Erling Haaland masih mampu untuk meledak gol tunggal perlawanan menerusi Antoine Semenyo ketika aksi separuh masa pertama hampir ke penghujung.
Guardiola berkata, beliau sudah menjangka aksi sukar bakal dihadapi pasukan memandangkan Leeds cukup liat untuk dikalahkan, terutamanya apabila mereka turun bermain di gelanggang sendiri.
“Pasukan lawan bermula sangat baik pada perlawanan hari ini (semalam) tetapi memang kami menjangka keadaan itu di Elland Road. Semua orang tahu Leeds mampu untuk memberikan cabaran kepada mana-mana pasukan.
“Bagaimanapun, dengan pengalaman yang ada, kami hanya bersabar dan menunggu masa sesuai untuk menyerang. Ketika mereka keletihan, kami memanfaatkan sepenuhnya peluang itu dan ia membuahkan hasil,” katanya.
Walaupun belum dapat memintas pendahulu liga, Arsenal, namun City sekurang-kurangnya berjaya memberikan tekanan kepada The Gunners, lebih-lebih lagi mereka bermain kurang satu perlawanan.
Selain mengharapkan keampuhan jentera serangan, City juga berjaya mematahkan beberapa gerakan berbahaya yang cuba dilakukan Leeds dalam usaha mereka untuk memburu gol penyamaan pada perlawanan tersebut. – AGENSI














