JOHOR BAHRU – Taktik sebuah kilang peralatan perubatan di kawasan Senai, Kulai yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah akhirnya terbongkar apabila premis itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Mahir, Jumaat lalu.
Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) selepas risikan dan aduan awam diterima sejak beberapa minggu lalu.
Pengarah Imigresen Johor berkata, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, hasil serbuan tersebut, seramai 117 warga asing berjaya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah itu, 47 lelaki warga Myanmar, lima lelaki warga Bangladesh dan 65 wanita warga Myanmar berusia antara 19 hingga 52 tahun diperiksa dan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pas kerja yang sah.
“Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran yang sah selain melanggar syarat pas yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, turut diberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai merupakan pegawai sumber manusia (HR) kilang berkenaan bagi membantu siasatan lanjut berhubung penggajian pekerja asing terbabit.
Difahamkan, serbuan itu dibuat susulan maklumat mengenai tindakan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengurangkan kos operasi termasuk pembayaran levi dan gaji minimum.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tujuan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.-KOSMO! ONLINE














