Saudara Pengarang,
Sepanjang bulan Ramadan biasanya masjid-masjid atau surau di seluruh negara menyediakan juadah moreh selepas umat Islam selesai menunaikan solat sunat tarawih.
Bagi masjid yang besar, juadah yang disajikan mungkin pelbagai dan memikat selera jemaah yang datang melakukan ibadah malam seperti kuih-muih, bihun goreng, malah ada juga menyediakan jamuan nasi.
Dalam ramai-ramai jemaah yang datang, pasti ada segelintir daripada mereka yang suka mengambil makanan dalam jumlah banyak seolah-olah tiada hari esok untuk mereka makan, pada hal ketika berbuka puasa pun sudah banyak yang masuk ke dalam perut.
Apa yang dikesalkan, makanan yang diambil itu tidak dapat dihabiskan dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah dan ini satu pembaziran sewaktu bulan Ramadan.
Sebenarnya, situasi seperti ini berlaku di mana-mana tidak kira di masjid, surau, malahan di tempat kenduri kahwin sekali pun.
Sayang sungguh makanan yang masih elok terbiar dan dibuang begitu sahaja.
Apa yang dapat disimpulkan, keadaan ini bermula dengan sifat tamak yang ada dalam diri seseorang, kalau boleh semua juadah yang ada di atas meja ingin diambil.
Peringatan kepada semua yang datang untuk berbuka, moreh di masjid, jangan suka mengambil makanan yang banyak jika sukar untuk dihabiskan, tidak rasa bersalah langsung.
Simpan sedikit untuk orang lain, mungkin disebabkan ‘perangai’ buruk kita itu, orang lain tidak dapat merasa keenakan makanan yang disediakan, cuma dapat minum air.
Lagi satu, kalau tidak habis mengapa dibuang dan tidak dibawa balik. Jika tidak mampu makan banyak ambil secukupnya, ingat orang di belakang.
Yang kesal
Kuala Lumpur














