fbpx
Komitmen ansuran bertindih setiap bulan boleh menyebabkan tekanan kewangan kepada pengguna terutama semasa kecemasan.

Hutang bertindih BNPL makan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kemudahan ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Kaedah pembayaran ini menawarkan fleksibiliti dalam pembelian barangan secara ansuran tanpa memerlukan kad kredit, sekali gus menjadikannya pilihan popular terutama sewaktu musim perayaan.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Nursyasya Nadhirah Zabidi dan jurugambar, Puqtra Hairry Rosli bersama Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad mengupas isu tersebut dengan lebih lanjut.

Siti NURAIN (kiri) menunjukkan kertas akademik yang memaparkan kesan negatif BNPL tanpa kawalan dalam kalangan generasi muda.

Semakin popular sebagai medium berbelanja terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri?
Siti Nurain: Corak per­belanjaan rakyat berubah de­ngan ketara menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Permintaan terhadap pa­kaian baharu, barangan rumah dan keperluan keluarga me­ningkat dalam tempoh singkat menyebabkan ramai mencari kaedah pembayaran lebih fleksibel.

Platform-platform yang disediakan memudahkan pengguna membuat pembelian serta-merta dengan tawaran ansuran tanpa faedah dalam tempoh tertentu.

BNPL menjadi pilihan kerana tidak memerlukan kelulusan ketat seperti kad kredit. Golo­ngan muda dan individu tanpa akses kredit formal melihatnya sebagai alternatif mudah dan pantas.
Selain itu, elemen psikologi ‘beli dahulu, bayar kemudian’ mengurangkan tekanan kewa­ngan jangka pendek, sekali gus menjadikan BNPL semakin po­pular ketika perbelanjaan memuncak.

Apa keburukan BNPL yang tidak terkawal terutama bagi golo­ngan muda?Walaupun menawarkan kemudahan, penggunaan tanpa kawalan boleh mendorong pembelian impulsif. Transaksi kecil yang kelihatan tidak membebankan boleh terkumpul menjadi komitmen bulanan yang besar.
Golongan muda yang baru bekerja mungkin belum mempunyai asas pengurusan kewangan kukuh. Tanpa bajet jelas, ansuran bertindih boleh mengganggu a­liran tunai dan simpanan.

Walaupun kadar faedah BNPL sifar ditawarkan, tetapi penalti lewat bayar akan meningkatkan jumlah keseluruhan hutang.
Lebih membimbangkan, rekod pembayaran yang lemah boleh menjejaskan skor kredit sekali gus menyukarkan permohonan pinjaman perumahan atau ken­deraan pada masa depan.

Sejauh mana impak BNPL tidak terkawal yang sudah mula dikesan dalam masyarakat masa kini?
Secara keseluruhan, nilai hutang BNPL masih kecil berban­ding hutang isi rumah negara. Begitupun, peningkatan jumlah transaksi menunjukkan kebergantungan yang semakin ketara.

Fenomena memiliki beberapa akaun BNPL serentak turut dikesan. Komitmen ansuran bertindih setiap bulan boleh menyebabkan tekanan kewangan terutama sewaktu kecemasan.

Terdapat juga peningkatan kes lewat bayar dalam kalangan pengguna muda. Walaupun belum kritikal, trend ini memberi isyarat awal tentang risiko sekiranya tidak dipantau.
Dalam jangka panjang, tabiat berhutang untuk memenuhi kehendak boleh membentuk budaya kewangan yang kurang sihat dalam masyarakat.

Apakah cara berbelanja menggunakan BNPL yang berhemah?
Langkah pertama ialah membezakan antara keperluan dan kehendak. BNPL sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan penting bukan semata-mata memenuhi gaya hidup.

Pengguna juga perlu mengira jumlah keseluruhan komitmen ansuran bukan sekadar melihat bayaran bulanan yang kecil. ­Disiplin bajet amat penting.

Elakkan membuka terlalu ba­nyak akaun BNPL serentak. Risiko terlupa tarikh bayaran boleh membawa kepada caj tambahan dan rekod kredit terjejas.
Selain itu, fahami terma dan syarat setiap pelan termasuk caj lewat bayar. Tetapan peringatan atau auto debit boleh membantu memastikan bayaran dibuat tepat pada masanya.

Apakah cara terbaik untuk mengumpul peruntukan bagi musim perayaan yang serentak dengan pembukaan persekolahan?
Perancangan awal merupakan kunci utama. Sediakan bajet tahunan bagi perayaan dan keper­luan sekolah supaya per­belanjaan tidak berlaku secara mendadak.

Wujudkan tabung simpanan khas dan menyimpan secara konsisten setiap bulan. Simpanan kecil tetapi berterusan mampu mengurangkan tekanan kewangan.

Kurangkan perbelanjaan tidak perlu dan manfaatkan tawaran promosi lebih awal. Pembe­lian berperingkat boleh mengelakkan beban kewangan serentak.
Jika perlu, cari pendapatan sampingan sementara bagi menampung kos tambahan tanpa bergantung kepada hutang.

Apakah tahap literasi kewangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda?Tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap sederhana hingga rendah. Ramai memahami asas simpanan, namun kurang mahir dalam perancangan jangka panjang dan pengurusan hutang.

Dalam kalangan golongan muda, cabaran lebih ketara apabila mereka terdedah kepada pelbagai produk kewangan digital. Tanpa pemahaman mendalam, keputusan kewangan mudah dipengaruhi trend.

Sebahagian besar juga tidak mempunyai simpanan kecemasan mencukupi. Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk pendidikan kewangan yang lebih menyeluruh.
Kes muflis melibatkan golo­ngan muda turut menjadi petunjuk bahawa kemahiran mengurus hutang masih perlu dipertingkat.

Bagaimana untuk menjadikan rakyat Malaysia terutama golongan muda lebih celik kewangan?
Pendidikan kewangan perlu dimulakan sejak di bangku sekolah dan diteruskan di peringkat universiti. Modul praktikal seperti simulasi bajet dan pengurusan wang boleh meningkatkan kefahaman.

Penggunaan media digital seperti video pendek, podcast (audio siar) dan infografik juga berkesan menarik minat golo­ngan muda. Penyampaian interaktif memudahkan pemahaman konsep kompleks.
Galakan tabungan automatik seperti auto debit ke akaun simpanan atau pelaburan kecil boleh membentuk tabiat kewangan sihat.

Program mentor dan kerjasama dengan institusi kewa­ngan turut membantu memberi pendedahan sebenar tentang risiko hutang dan kepentingan perancangan masa depan.

Apakah langkah-langkah diambil kerajaan bagi me­ningkatkan literasi kewangan rakyat?
Kerajaan menunjukkan komitmen jelas dalam memperkukuh literasi kewangan rakyat. Pelbagai program diperkenalkan melalui agensi berkaitan.

Bank Negara Malaysia antara institusi yang aktif melaksanakan kempen kesedaran dan modul pendidikan kewangan di sekolah serta universiti.

Inisiatif turut merangkumi pendidikan kewangan digital bagi memastikan rakyat lebih peka terhadap risiko transaksi dalam talian dan produk fintech.
Walaupun usaha berterusan dilaksanakan, cabaran masih wujud terutama dalam mengubah sikap dan tabiat kewangan ge­nerasi muda.

Apa Inisiatif UMT melahirkan ge­nerasi celik literasi kewangan?
Di peringkat universiti, UMT melaksanakan pelbagai program pendedahan kewangan kepada pelajar antaranya kerjasama bersama Bursa Malaysia melalui program Hari Pelaburan yang memberi pendedahan tentang pasaran modal dan pelaburan.

Universiti turut bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi meningkatkan ke­sedaran tentang risiko keberhuta­ngan dan pengurusan kewangan berhemah.
Pendekatan ini memberi pe­ngalaman praktikal dan memperkukuh pemahaman pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Nasihat kepada ge­nerasi muda untuk merancang kewangan sebelum melangkah ke alam pekerjaan
Generasi muda disaran mula menabung walaupun dalam jumlah kecil. Simpanan kecemasan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan perlu menjadi sasaran awal.

Catat perbelanjaan dan bezakan antara keperluan serta kehendak. Disiplin ini membantu mengelakkan hutang tidak perlu.

Fahami risiko penggunaan kad kredit dan skim BNPL. Gunakan kemudahan kewangan secara terkawal dan berasaskan kemampuan sebenar.
Akhir sekali, tetapkan matlamat jangka panjang seperti memiliki rumah atau melabur. Pe­rancangan awal memberi ruang kewangan yang lebih stabil dan teratur pada masa hadapan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN