fbpx
Hakim Danish tekad bangkit buru petak terbaik sesi kelayakan Moto3 di Grand Prix Thailand.

Hakim Danish tekad bangkit sesi kelayakan Moto3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tidak patah semangat malah tekad memperbaiki tunggangannya untuk memburu petak terbaik menjelang sesi kelayakan di Grand Prix (GP) Thailand hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu masih mencari rentak pada aksi pembukaan itu apabila sekadar menamatkan saingan pada sesi latihan pertama (FP1) di kedudukan ke-22 semalam.

Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, Hakim Danish tetap berfikiran positif dan berazam untuk bangkit memburu slot ke sesi kelayakan kedua (Q2) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.

“Secara keseluruhan, saya nampak ada perkembangan positif hari ini. Seperti mana semua tahu, ketika sesi ujian (pramusim) saya agak kurang yakin, tetapi pada sesi latihan bebas (FP) pertama tadi, saya sudah mula mendapat rentak semula.

“Memang ada peningkatan masa pada sebelah petang, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki terutama di bahagian selekoh dan posisi badan untuk memastikan jentera lebih pantas.

“Apapun, saya rasa catatan masa ini masih boleh diperbaiki lagi dan saya akan berusaha gigih pada sesi Q1 esok untuk melangkah ke Q2,” katanya.

Terdahulu pada sesi FP1 sebelah pagi, pelumba muda negara itu mencatat masa 1 minit 42.584 saat (s) untuk menduduki tangga ke-17 daripada 26 pelumba.

Meskipun berjaya memperbaiki catatan masanya kepada 1:42.084s pada sesi petang, kedudukannya sedikit merosot ke tangga ke-22 selepas pelumba lain turut mempamerkan tunggangan yang lebih agresif untuk menempah tiket awal ke Q2.

Aksi kelayakan pertama (Q1) Moto3 dijadualkan berlangsung jam 1.45 tengah hari nanti, disusuli sesi Q2 bagi menentukan petak permulaan perlumbaan pada Ahad. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN