SEBERANG PERAI – Seorang pengarah syarikat kejuruteraan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen penyata bank milik syarikatnya antara tahun 2016 hingga 2021.
Abdul Mannan Ramli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang juga Pengarah Syarikat AMBR Engineering didakwa memalsukan dokumen Bank Islam syarikat dengan memasukkan baki bulanan palsu untuk tujuan menipu di Majlis Bandaraya Seberang Perai di Bandar Perai, pada 26 Mei 2016, 18 Disember 2018 dan 23 November 2021.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah, dan tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Aswandi Mohamed Hashim.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai sekali gus menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula. – KOSMO! ONLINE














