KUALA SELANGOR – Enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran sebuah kilang memproses plastik di Kawasan Perindustrian Tambak Jawa, Jeram di sini, hari ini.
Selain BBP Kuala Selangor, ia melibatkan BBP Bestari Jaya, Tanjong Karang, Klang Utara, Sabak Bernam dan Sungai Besar.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.34 petang.
“Sepasukan 21 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi dan pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan kilang memproses bahan plastik jenis struktur terbuka.
“Premis berkeluasan 1000 kaki persegi itu mengalami kemusnahan dianggarkan 70 peratus dan tiada mangsa terlibat setakat ini,” katanya.
Tambah beliau, pemadaman api telah mencapai 50 peratus dan sedang dijalankan pihaknya ketika ini. – KOSMO! ONLINE














