fbpx
HAKIM DANISH kini mampu memberi fokus penuh menjelang aksi pertama Moto3 di Buriram minggu ini selepas urusan penajaan diselesaikan.

Debut Moto3 Danish lebih sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA sensasi negara, Hakim Danish Ramli menerima tonik terbaik menjelang Grand Prix (GP) Thailand apabila syarikat kewangan terkemuka, AEON Credit Service (M) Berhad sah sebagai ‘title sponsor’ buat pasukannya untuk menggegar pentas Moto3 musim ini.

Penajaan kerjasama selama setahun itu sekali gus akan memacu jenama baharu pasukan buat pelumba berusia 18 tahun di Litar Antarabangsa Chang, Buriram yang dikenali sebagai AEON Credit MT Helmets MSi.

Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada sokongan berterusan AEON Credit selepas syarikat tersebut sebelum ini merealisasikan penyertaan wildcard Moto3 Hakim Danish di Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu.

Mengulas penajaan itu, Hakim Danish menyifatkannya sebagai pembakar semangat terbesar dalam menghadapi cabaran baharu di Moto3 terutama pada aksi pertama di Buriram kali ini.

“Sokongan AEON Credit ini merupakan pembakar semangat terbesar buat saya. Fokus saya kini sepenuhnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan memberikan prestasi terbaik di pentas dunia.

“Berita ini pastinya meningkatkan motivasi saya, khususnya menjelang perlumbaan GP Thailand yang dijadual berlangsung minggu ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AEON Credit, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta ZK Racing yang bekerja keras memastikan kerjasama berprestij ini dapat direalisasikan.” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda menegaskan, pelaburan ini mencerminkan visi jangka panjang syarikat dalam menyumbang secara langsung kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

“Kerjasama ini melangkaui konsep penajaan semata-mata. Ia merupakan pelaburan strategik berasaskan kepercayaan terhadap nilai disiplin, ketekunan dan peluang yang ditawarkan oleh sukan permotoran sebagai platform pembinaan generasi masa hadapan.

“Sukan permotoran selari dengan nilai teras AEON Credit yang menekankan ketabahan, semangat juang dan keunggulan. Kami komited untuk membina ekosistem yang mampan bagi melahirkan juara dan ikon sukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN