PETALING JAYA – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memperoleh dividen berjumlah antara kira-kira RM650 hingga RM65,000, berdasarkan kepada angka keseluruhan caruman mereka setakat ini.
Menerusi hantaran Thread TheFuturizts, pihak tersebut yang aktif berkongsi maklumat kewangan menganggarkan dividen bakal diperoleh pencarum KWSP mengikut caruman mereka.
“Penganalisis menjangkakan kadar antara 6.30 hingga 6.50 peratus. Ini jumlah yang akan anda peroleh.
“Simpanan RM10,000 (dividen RM650), RM50,000 (dividen RM3,250), RM100,000 (dividen RM6,500), RM300,000 (dividen RM19,500), RM500,000 (dividen RM32,500), manakala RM1 juta (dividen RM65,000),” menurut hantaran berkenaan.
Dalam masa sama, bayaran dividen itu akan dibahagikan kepada tiga akaun dengan nisbah 75 peratus (Akaun 1), 15 peratus (Akaun 2) dan 10 peratus (Akaun 3).
Kosmo! melaporkan, KWSP dijadualkan mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2025 pada Sabtu ini yang bakal disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn.
Penganalisis sebelum ini mengunjurkan kadar dividen yang positif untuk tahun 2025, pada paras sekitar enam peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid meramalkan dividen sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.5 hingga enam peratus bagi Simpanan Syariah, disokong prestasi pelaburan yang kukuh.
Dividen KWSP bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun 2024 adalah sebanyak 6.3 peratus, iaitu kadar tertinggi sejak 2017.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














