fbpx
Wan Rosdy.

Penuntut pijak al-Quran: Kerajaan Pahang serah penuh kepada pihak berkuasa, UMPSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memandang serius tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina nabi Muhammad dan mencemar kesucian al-Quran dengan memijak kitab suci berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan UMPSA untuk menjalankan siasatan serta menguruskan kes itu secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan penuntut UMPSA yang tular menghina nabi Muhammad dan memijak al-Quran dalam media sosial.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutamanya di ruang awam dan media sosial.

“Elakkan daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI