TAPAH – Seorang wanita maut selepas kereta dinaikinya terlibat kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di Kilometer (KM) 314, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 2.06 petang dan nahas melibatkan sebuah treler muatan batu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Lexus dan kereta BMW.
“Kemalangan mengakibatkan treler dan kereta Lexus terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter. Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati tiga mangsa tersepit dalam kereta Lexus, manakala pemandu BMW dan pemandu treler terselamat.
“MPV Lexus dinaiki pemandu lelaki berusia 43 tahun bersama dua penumpang masing-masing lelaki dan wanita berusia 77 dan 71 tahun. Ketiga-tiga mereka tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mangsa wanita disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi tersebut.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan membawa naik mereka dengan menggunakan pengusung (stretcher). Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














