KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita di Jalan Salor dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Nik Muhammad Afiq Nik Azhar, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan samun sehingga dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 33 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Surau Pendek, Jalan Salor di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 10 Februari lalu.
Nik Muhammad Afiq didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memaklumkan bahawa dia mengalami masalah mental sejak 2006 dan mendakwa masih menerima rawatan psikiatri di hospital.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan selain mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan. – KOSMO! ONLINE














