fbpx
Gambar hiasan

Perut tak pandai kira kurma genap atau ganjil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Amalan memakan kurma dalam bilangan ganjil ketika berbuka puasa tidak salah dari sudut agama, namun tanggapan bahawa jumlah genap ‘bertukar menjadi gula’ dalam darah disifatkan sebagai mitos dalam sains.

Public Health Malaysia (PHM) berkata, sistem pencernaan manusia tidak mempunyai mekanisme untuk ‘mengira’ bilangan makanan sama ada ganjil atau genap.

“Perut dan usus anda tidak pandai mengira nombor. Sistem pencernaan kita tidak ada suis ajaib yang akan berbunyi, ‘Eh dia makan dua bijilah, jom kita tukar jadi lemak jahat!’. Tubuh badan kita hanya kenal komposisi kimia dan isi padu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut PHM, secara purata sebiji kurma mengandungi lima hingga lapan gram gula semula jadi.

“Kalau anda makan dua biji (genap), badan akan serap 16 gram gula. Kalau anda makan tiga biji (ganjil), badan terpaksa proses 24 gram gula. Logik sains, makan tiga biji kurma tetap akan memberi kesan kenaikan gula darah lebih tinggi berbanding makan dua biji.

“Makin banyak anda suap, makin tinggi kandungan karbohidrat yang masuk, tidak kisahlah nombor itu ganjil atau genap,” ujarnya.

PHM menegaskan, amalan memakan kurma dalam bilangan ganjil seperti satu, tiga atau tujuh biji merupakan sunnah yang baik diamalkan oleh umat Islam dengan niat memperoleh pahala dan keberkatan.

“Langsung tak salah. Bagi umat Islam, memakan kurma dalam bilangan ganjil adalah sunnah yang sangat bagus dengan niat mendapatkan pahala. Ia adalah saranan berbentuk kerohanian dan keberkatan,” katanya.

PHM turut menasihatkan pesakit kencing manis supaya lebih peka dengan saiz hidangan terutama jika mengambil kurma bersaiz besar seperti jenis Medjool.

“Bagi pesakit kencing manis, tolong perhatikan saiz porsi anda. Makan sebiji pun dah sangat memadai. Jangan paksa diri telan tiga biji semata-mata nak kejar nombor ganjil, lepas tu bacaan gula mencanak naik,” jelasnya.

Sehubungan itu, PHM menyeru orang ramai supaya mengamalkan sunnah dengan ilmu yang betul dan tidak terpengaruh dengan mitos yang boleh menjejaskan kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN