KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menahan seorang lelaki berusia 60-an kerana disyaki menyimpan tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit di Bukit Tunggal di sini hari ini.
Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu turut berjaya merampas 48 tong gas LPG bernilai keseluruhan RM4,847.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, premis penyimpanan tersebut didapati ditutup dengan jaring hitam selain sentiasa berpagar dan berkunci bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita berjaya juga mengesan pemilik premis tersebut dengan bantuan orang awam sebelum mengarahkan suspek membukanya bagi pemeriksaan.
“Sebanyak 37 tong gas LPG seberat 14 kilogram (kg) dan sebuah berkuantiti 12 kg yang berisi ditemui,” katanya di sini hari ini.
Mufsi berkata, selain itu 10 tong gas kosong LPG seberat 14 kg turut dirampas.
Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki suspek membeli bekalan tong gas memasak itu daripada syarikat pemborong sebelum menjualnya semula kepada penduduk setempat tanpa permit.
“Dia gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan sedangkan tong gas LPG merupakan barang kawalan.
“Kes sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE














