fbpx
Ramai peniaga masih mengekalkan saiz dan harga martabak bagi mengelakkan pelanggan ‘lari’ selain mencari keberkatan di bazar Ramadan Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang semalam.

‘Kalau naik harga nanti kena boikot’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Di sebalik polemik harga naik dan makanan tidak sedap, terdapat juga peniaga bazar Ramadan yang masih mengekalkan harga jualan dan kualiti makanan demi mencari keberkatan dan mengelakkan lokasi perniagaan diboikot.

Rata-rata pembeli yang ditemui juga berpuas hati dengan kua­liti dan pengekalan harga seperti tahun sebelumnya.

Peniaga nasi kukus ayam dara bazar Ramadan Kampung Baru di sini, Nur Syafa Mohamad Razali, 24, berkata, dia mengekalkan harga RM10 kerana bahan mentah tidak meningkat secara mendadak.

Katanya, dia akan menurunkan harga jika menerima saiz ayam kecil.

“Pelanggan bijak membuat pi­lihan dan peniaga perlu memastikan harga tidak membebankan mereka, mengekalkan rasa dan kualiti makanan,” katanya.

Pengunjung, Norsyazerina, 34, berkata, harga di bazar itu masih berpatutan dan mesra pelanggan selain tidak merasa terbeban untuk membeli beberapa juadah berbuka untuk keluarganya.

“Harga roti john, martabak dan popia basah masih sama se­perti tahun lepas iaitu sekitar RM5 hingga RM7. Nasi ayam pula RM8, tepung pelita dan roti jala antara RM3 hingga RM5,” katanya.

Di Gua Musang, peniaga di Kompleks Perdana Majlis Daerah tidak berani menaikkan harga kerana mahu menjaga hati penduduk kampung dan situasi ekonomi semasa.

Rata-rata kuih tradisional dan air balang dijual pada harga antara RM2 hingga RM5 sebekas dan sebungkus selain harga lauk-pauk tidak banyak beza berban­ding tahun lalu.

Peniaga bihun dan kuetiau goreng, Muhamad Saiful Salleh, 35, berkata, harga dikekalkan untuk menjaga pelanggan tetap.

“Jika harga naik, mungkin orang kampung dan penduduk setempat tak datang ke bazar. Selagi mampu saya kekalkan harga kerana cari keberkatan,” katanya.

Mayaning Usoh, 39, berkata, dia menjual pelbagai jenis kerabu antara RM7 hingga RM13 sebekas.

“Saya menggunakan bahan segar dibeli di Narathiwat, Thailand. Selagi mampu saya serap kos bahan mentah.

“Sudah pasti peniaga jujur akan disokong oleh pembeli,” katanya.

Di Kangar, pengunjung bazar di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra berpuas hati dengan harga jualan juadah di situ.

Nor Saadiah Rahim, 27, berkata, air balang RM5 berpatutan kerana ramai boleh minum.

“Paha ayam bakar RM7 sekali dengan sos juga berpatutan dan saya puas hati. Kebanyakan makanan di Perlis masih murah jika dibandingkan dengan saiz atau kuantiti juadah yang dijual,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN