LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Igor Tudor melabelkan Arsenal sebagai pasukan terbaik dunia selepas tewas 1-4 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Kekalahan itu nyata memberi tamparan hebat kepada Spurs apabila mereka semakin hampir ke zon penyingkiran apabila hanya dibezakan empat mata dengan West Ham United yang menghuni tangga ke-18.
Pada perlawanan itu, Arsenal menjaringkan empat gol menerusi Eberechi Eze dan Viktor Gyokeres yang masing-masing meledak dua gol, manakala gol saguhati Spurs dijaringkan Randal Kolo Muani.
“Arsenal mungkin merupakan pasukan terbaik di dunia ketika ini. Kami fikir hari ini (semalam) adalah perlawanan derbi dan mungkin dapat melakukan sesuatu, tetapi sukar untuk bersaing dengan mereka.
“Ini bukanlah pasukan sempurna dan kami dapat melihat di mana tahap sebenar Spurs berdepan Arsenal. Bagi saya, jurang antara kedua-dua pasukan sangat besar, tetapi saya gembira kerana dapat mengetahuinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang memiliki 11 perlawanan untuk menyelamatkan musim Spurs mengakui keyakinan barisan pemainnya berada pada tahap paling rendah ketika ini, terutamanya masih belum menang sepanjang 2026.
“Kurang keyakinan ini dapat dilihat ketika kami tidak memegang bola. Saya sangat sedih dan marah kerana pemain-pemain Spurs tidak mampu untuk buat apa yang kami harapkan daripada mereka,” ujar Tudor. – AGENSI














